Dec 19, 2013

Sektor pertanian penyumbang tertinggi KDNK


“Pendekatan kerajaan menggalakkan usaha-usaha kreatif dan berinovatif ke arah mentransformasikan sektor pertanian sedia ada supaya terus kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negeri,” 


Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin

Sektor pertanian merupakan penyumbang tertinggi ke atas Keluaran Negeri Kasar (KDNK) Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berkata, sumbangan sektor pertanian dianggar berjumlah 21 peratus daripada RM44.4 billion KDNK negeri ini.

Katanya, diperingkat nasional dalam pembentangan bajet 2014, sebanyak RM6 billion telah pun diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memacu pertumbuhan sektor ke tahap yang lebih tinggi supaya terus releven sebagai salah satu penjana pertumbuhan ekonomi negara menjelang tahun 2020.

“Keutamaan kerajaan ialah meningkat kecekapan sektor pertanian bagi jangka panjang supaya lebih produktif, berdaya saing dan berintensifkan pengetahuan,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan kepada pelatih Pusat Latihan Belia KPD – OISCA. Lagud Sebrang dekat sini pada Selasa.

Seramai 41 pelatih dari daerah –daerah seluruh Sabah menerima Sijil Tamat Latihan pada majlis itu.

Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pada tahun 2014, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas sektor pertanian telah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM139.9 juta iaitu peruntukan ketiga tertinggi selepas Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur.

Katanya, agihan peruntukan yang tinggi ini menunjukkan betapa pentingnya sektor pertanian sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Justeru itulah katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawahnya termasuk KPD sendiri sehaluan dalam usaha mewujudkan satu kumpulan modal insan pertanian yang bestari dan berinformasi melalui pusat-pusat latihan sedia ada di seluruh negeri.

“Seperti mana yang telah dinyatakan dalam dasar agromakanan negara (2011-2020), latihan-latihan formal jangka panjang, malahan latihan-latihan jangaka pendek juga dilaksanakan dengan lebih kerap di semua peringkat,” jelasnya.

Yahya berkata, bagi menyediakan kumpulan modal insan berteraskan teknokrat pertanian maka pemerkasaan modal insan ini perlu dilaksanakan dengan lebih teratur seperti mana yang telah dilakukan oleh KPD di pusat latihan KPD-OISCA.

Beliau berkata, cara ini dilihat sebagai satu kaedah memperluaskan akses kursus teknikal dan vokasional pertanian yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan modal insan pertanian di negeri ini.

“Pada masa negeri ini mempunyai institut-institut latihan pertanian seperti di Kota Belud, Lahad Datu dan Pusat Latihan Belia KPD-OISCA namun tempat pembelajaran amat terhad bagi menampung permintaan sektor pertanian di negeri ini yang begitu dinamik perkembangannya. Bagi mengatasinya jabatan dan agensi di bawah MAFI perlu mengadakan lebih banyak kursus-kursus jangka pendek kepada usahawan tani sedia ada,” katanya.

Dalam masa yang sama Yahya berharap agar para pelatih dapat menfaatkan sepenuhnya kemahiran dan ilmu pengetahuan yang diperolehi di pusat latihan sebagai aset boleh membantu memajukan diri, keluarga dan memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, matlamat pusat latihan adalah selaras dengan hasrat kerajaan mewujudkan kumpulan belia dan modal insan yang berkualiti dan berpengetahuan.

Langkah ini juga katanya, merupakan komitmen dan perhatian serius kerajaan terhadap pewujudan program pembangunan modal insan yang produktif di negeri ini.

Yahya juga menegaskan bahawa kerajaan serius untuk membangunkan sektor pertanian di negeri ini.

“Pendekatan kerajaan menggalakkan usaha-usaha kreatif dan berinovatif ke arah mentransformasikan sektor pertanian sedia ada supaya terus kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negeri,” katanya.

Sehubungan dengan ini jelasnya, kesemua jabatan dan agensi di bawah Kementerian termasuk Korporasi Pembangunan Desa akan diberi peruntukan bagi melaksanakan program masing-masing terutamanya dalam usaha mengurangkan import bahan makanan.

Beliau berkata, pada masa ini hanya lebih kurang 25 peratus sahaja dariada keperluan sara diri dapat dipenuhi kerana kos pengeluaran beras yang tinggi berbanding harga mengimport beras dari luar negara.

NewSabahTimes: 18/12/2013


2 comments:

  1. saya ingin tahu kadar pembangunannya 1 drum kira2 20 liter air berapa banyak nak masukan baja DI GROW. saya guna utk siram pokok durian yg baru ditanam. dan berapa kekerapannya sepatutnya dilakukan. tk. mohon penjelasan jua.

    ReplyDelete
  2. saya ingin tahu kadar pembangunannya 1 drum kira2 20 liter air berapa banyak nak masukan baja DI GROW. saya guna utk siram pokok durian yg baru ditanam. dan berapa kekerapannya sepatutnya dilakukan. tk. mohon penjelasan jua.

    ReplyDelete