Mar 24, 2014

Program agropolitan di Kg Ulu Lingkabau diharap dilaksanakan tahun ini


Program agropolitan di Kampung Ulu Lingkabau dalam Dewan Undangan Negeri Sugut diharap dilaksanakan pada tahun ini.

Wakil rakyat Sugut Datuk James Ratib berkata pelaksanaan program itu sememangnya amat diharapkan oleh penduduk kampung.

“Rakyat amat mengharapkan program itu dapat dilaksanakan kerana program tersebut memberikan manfaat yang berguna,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan dengan pengurus besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah dan timbalan pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah di sini baru-baru ini.

James berkata program itu diperkenalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional untuk membantu dan meningkatkan ekonomi rakyat.

Katanya program itu adalah untuk memperbaiki kehidupan rakyat yang terpilih untuk menyertainya.

“Program itu sememangnya amat diperlukan dan program itu pula merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan,” katanya lagi.

Beliau berkata peningkatan sumber ekonomi itu tentunya membolehkan penduduk yang terpilih menjalani kehidupan yang lebih baik.

Menurutnya usaha untukmengubah imej DUN Sugut turut memfokuskan kepada usaha membantu rakyat khususnya dalam peningkatan sumber ekonomi.

Katanya program agropolitan itu membolehkan penduduk yang menjadi peserta memperolehi sumber ekonomi yang tetap.

“Program itu sebenarnya membantu mengubah kehidupan penduduk dan inilah yang diharapkan oleh penduduk agar program itu dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu James berkata penglibatan jabatan dan agensi kerajaan dalam memastikan program itu dapat dilaksanakan sememangnya diharapkan.

Katanya jabatan dan agensi kerajaan bukan sahaja membantu program itu dilaksanakan tetapi turut membantu penduduk yang terpilih menjadi peserta.

“Program itu tidak akan berjaya jika tiada sokongan daripada jabatan dan agensi kerajaan dan kita amat menghargai penglibatan serta sokongan itu,” katanya lagi.


Sumber:  newsabahtimes

No comments:

Post a Comment