Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersedia menyalurkan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mewujudkan lebih banyak Agro Bazaar Rakyat di seluruh negara.
Perdana Menteri memberitahu, inisiatif itu memberi pilihan kepada rakyat untuk mendapatkan produk pertanian pada harga berpatutan.
Menurut beliau, para petani juga berpeluang meraih pendapatan lebih tinggi pada kadar harga saksama dengan pengeluaran mereka.
“Ini akan kita perkasakan, kalau kita boleh menjamin bukan sahaja bekalan makanan yang cukup.
“Kita juga hendak memastikan harga ayam, ikan dan daging setiap hari berpatutan terutama kepada rakyat supaya mereka merasakan hidup dalam negara ini adalah rahmat yang besar,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalannya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Nogeh Gumbek dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Seri Saipolbahari Suib.
Najib menambah, pembukaan lebih banyak Agro Bazaar Rakyat adalah penting memandangkan isu kos sara hidup dianggap sangat penting oleh rakyat.
“Yang menjadi perhatian rakyat ialah soal kos sara hidup, di mana-mana tempat pun mereka sebut tentang kos sara hidup,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menyarankan supaya hasil eksport pertanian negara diperluaskan pasarannya melalui rantaian pasar raya besar di luar negara termasuk di Asia Barat.
Beliau memberitahu, bidang pertanian tidak seharusnya terhad kepada dalam sempadan negara sahaja.
“Kalau dapat separuh (pasaran) kepada petani kita, sudah tentu mereka boleh menjadi golongan berpendapatan sederhana,” jelasnya.
Najib berkata, bidang pertanian di negara ini juga memerlukan suntikan dari segi teknologi dan inovasi.
“Mungkin tanah terbiar kita boleh guna pakai dan lebih penting, suntikan teknologi dan inovasi dari peringkat awal,” katanya.
Beliau memberitahu, penggunaan teknologi berdasarkan amalan pertanian baik perlu dimanfaatkan dari peringkat awal seperti benih yang berkualiti.
Sumber: utusanmalaysiaonline
No comments:
Post a Comment