
Sebuah pusat memproses getah untuk penghasilan produk kecantikan, perubatan dan makanan haiwan berasaskan komoditi itu akan dibuka di Padang Terap, Kedah penghujung tahun ini.
Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr. Mohd. Akhbar Mohd. Said berkata, buat permulaan, pihaknya menyasarkan pusat itu mampu mengumpul sehingga 10 tan getah sehari daripada 300 hingga 400 pekebun kecil.
Menurutnya, LGM akan bekerjasama dengan syarikat swasta bagi projek perintis itu yang mampu meneroka pasaran baharu bagi industri getah di negara ini.
“Pusat pengumpulan di Stesen Penyelidikan Getah di Sungai Sari itu akan dilengkapi dengan mesin memproses getah krip yang berkualiti tinggi.
“Air daripada getah boleh diproses untuk dijadikan makanan haiwan yang mampu mencecah harga RM40 sekilogram.
“Selain itu, bahan tersebut juga boleh diproses untuk menghasilkan produk kecantikan, perubatan selain air mineral,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Taklimat Insentif Pengeluaran Getah (IPG) Peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi.
Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Kebangsaan, Datuk Aliasak Ambia.
Menurut Mohd. Akhbar, pihaknya merancang membuka pusat pengumpulan seumpama itu di seluruh negara bagi mempelbagaikan potensi hasil getah.
“Dengan kaedah ini, kelompok pekebun kecil yang selama ini hanya menawarkan hasil getah boleh bersaing dalam penghasilan produk-produk berasaskan bahan itu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau tidak menolak kemungkinan penghasilan getah di negara ini akan terjejas sekiranya cuaca panas akibat fenomena El Nino berlarutan.
“Jika panas berterusan sehingga bulan Mei atau Jun, pokok getah akan mengalami masalah dan kesannya akan dialami oleh pekebun pada awal tahun depan,” katanya
Sumber: utusanmalaysia
No comments:
Post a Comment