Mar 13, 2016

K'jaan akan terus lahir lebih ramai usahawan pertanian muda


Kerajaan akan terus berusaha melahirkan lebih ramai usahawan pertanian muda dan kreatif di negeri ini bagi menjadikan sektor pertanian lebih berdaya saing di peringkat global.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata untuk mencapai matlamat itu, Jabatan Pertanian melaksanakan pelbagai program termasuk Kursus Kemahiran Pertanian Bersepadu setiap tahun.

“Program ini adalah untuk melahirkan usahawan pertanian yang berintegriti, cemerlang dan berdaya saing bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mentransformasikan pembangunan sektor pertanian kepada yang moden dan maju pada masa hadapan.

“Kelahiran lebih ramai usahawan pertanian muda dan kreatif pastinya akan dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan teknologi dan inovasi serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Kemahiran Pertanian Bersepadu Ke-20 dan Majlis Pengiktirafan Pengusaha Pertanian Cemerlang di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah, di sini, kelmarin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata pada tahun 2013, kira-kira 1 peratus sahaja graduan dan lulusan Institut Pengajian Tinggi (IPT) menceburi bidang keusahawanan dalam tempoh 6 bulan selepas menamatkan pengajian.

“Mungkin masih ramai yang kurang sedar bahawa pembabitan dalam bidang pertanian mampu memberikan pulangan yang lumayan.

“Oleh itu pihak kementerian memerlukan sokongan padu semua pihak untuk mencapai halatuju kerajaan menggalakkan golongan muda menceburi bidang keusahawanan dengan konsep “satu usahawan, satu keluarga”,” katanya.

Dari segi aspek keselamatan makanan, Yahya berkata, peluasan pematuhan kepada akreditasi kualiti dan keselamatan makanan dikuatkuasakan serta pelaksanaan kempen kesedaran makanan dilakukan dengan lebih giat.

“Dalam hal ini, tumpuan terus diberikan kepada pengeluaran hasil secara Amalan Pertanian Baik (GAP) yang menekankan aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial untuk memastikan produk yang dihasilkan selamat dan berkualiti.

“Setakat ini Jabatan Pertanian berjaya mempersijilkan 5 ladang dengan pensijilan myOrganic dan 25 ladang memperolehi persijilan MyGAP. Ini merupakan pencapaian terbaik Sabah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.

Yahya berkata dalam usaha transformasi ke arah negeri berpendapatan tinggi, kerajaan turut memberi tumpuan kepada industri agromakanan terutamanya bagi produk-produk bernilai tinggi dan eksport sebagai satu industri berdaya saing dan mampan.

“Ia sejajar dengan Halatuju Pembangunan Sabah yang memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian seiring dengan sektor pelancongan dan pembuatan,” katanya.

Beliau berkata bagi merealisasikan jaminan bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan, pelbagai inisiatif diusahakan untuk meningkatkan pengeluaran makanan secara berskala besar melalui kaedah tanaman selingan dan integrasi, pengzonan kawasan pengeluaran tanaman serta memperluaskan kawasan penanaman dan pewujudan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Yahya berkata dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dua buah lokasi terpilih menggunakan Struktur Pelindung Hujan dengan teknologi Sistem Fertigasi akan dijadikan projek incubator bagi membimbing graduan pelatih dan bakal usahawan selama setahun di bawah bimbingan Jabatan Pertanian.

“Pendekatan ini amat praktikal dan saya berharap kemahiran teknikal, keusahawanan dan membangunkan rangkaian perniagaan secara ‘hands-on’ akan dimanfaatkan oleh bakal peserta,” katanya.

Pada majlis itu seramai 34 pelatih yang menjalani latihan selama 12 bulan menerima sijil.

Yahya turut menyampaikan Anugerah Sijil Pengiktirafan Jabatan Pertanian Sabah kepada 65 orang penerima yang terdiri daripada usahawan tani, Pengusaha Pertanian Cemerlang, Persijilan myGAP (Malaysian Good Agricultural Practices), persijilan myOrganic dan Sijil MeSTI/Halal.

Turut hadir Pengarah Pertanian Negeri Sabah, Idrus Shafie, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri, K. Zulkifli Harrith, Setiausaha Politik Yahya, Ewon Benedick, Timbalan Pengarah Pertanian, John Siegfred Gumpil dan Haji Abdul Aziz Haji Abdul Latiff.


Sumber:  newsabahtimes


No comments:

Post a Comment